PANDUAN PERLINDUNGAN GPA

Di bawah skim perlindungan Group Personal Accident ini, pelajar-pelajar dilindungi 24 jam sehari di seluruh dunia. Sekiranya berlaku kematian atau cacat kekal, pelajar/waris pelajar layak untuk membuat tuntutan bagi :

1. Kematian akibat kemalangan

Kematian serta merta atau kematian yang berlaku dalam tempoh 6 bulan daripada tarikh kemalangan.

2. Hilang upaya atau kecatatan.

Hilang upaya atau kecacatan kekal merujuk kepada hilang upaya yang disebabkan oleh kemalangan yang menghalang orang dilindungi daripada melibatkan diri dalam apa-apa jenis perniagaan atau pekerjaan atau menjalankan sebarang tugas, bagi memperolehi upah atau keuntungan. Syarat bagi menentukan samada hilang upaya tersebut adalah kekal ia mestilah berterusan bagi tempoh tidak kurang daripada 6 (enam) bulan.

Kehilangan kedua tangan atau kedua kaki atau sebelah tangan dan sebelah kaki atau kedua mata adalah disifatkan sebagai hilang upaya menyeluruh dan kekal. Kehilangan bagi tangan dan kaki bererti putus pada atau di pergelangan tangan dan buku lali, bagi mata, hilang penglihatan sepenuhnya dan tidak dapat dipulihkan semula.

3. Perbelanjaan perubatan

Syarikat akan membayar perbelanjaan rawatan perubatan ke atas mana-mana kecederaan tubuh badan yang diakibatkan oleh kemalangan sahaja. Perbelanjaan ini tertakluk kepada had yang ditetapkan oleh syarikat.

Manfaat Tambahan.

Syarikat akan memberi perlindungan tambahan sekiranya terdapat manfaat tambahan yang diambil oleh peserta. Polisi yang sedia ada telah dimasukkan dengan manfaat tambahan seperti berikut :

1. Menunggang atau membonceng motorsikal (Motorcycling Clause)

Sebarang kemalangan yang disebabkan oleh menunggang atau membonceng motorsikal yang menyebabkan kematian atau hilang upaya kekal.

2. Sukan amatur atau aktiviti sosial (Amateur sport and social activities)

Sebarang aktiviti kokurikulum sesebuah institusi (IPTA/IPTS) yang telah dipersetujui oleh syarikat insurans/takaful untuk melindungi. Termasuk bagi yang menyertai sukan-sukan amatur yang terdedah kepada risiko bahaya dan sesetengah peserta yang mempunyai hobi aktiviti lasak seperti memanjat gunung, memasuki hutan dan sebagainya.

3. Lemas atau tersedut gas (Gas suffocation/inhalation/drowning).

Kematian atau kecederaan yang disebabkan lemas atau tersedut gas yang berlebihan atau gas yang beracun.

4. Lemas dan keracunan makanan atau minuman (Drowning and food or drink poisoining)

Kematian atau kaitan yang disebabkan oleh keracunan makanan atau minuman sehingga menjejaskan kesihatan peserta.

5. Gigitan ular & serangga berbahaya (Snake bites & Harmful insect)

Syarikat akan memberi perlindungan kepada peserta apabila diserang serangga bahaya atau terkena gigitan ular sekiranya peserta menambah manfaat ini.

6. Kehilangan (Disappearance clause).

Sekiranya peserta tidak dijumpai dalam tempoh setahun selepas tarikh kehilangan akibat daripada kemalangan, tuntutan boleh dibuat mengikut budi bicara syarikat apabila berpuas hati atas keterangan dan pengesahan kematian peserta.

7. Pembunuhan, serangan dan penculikan (Kidnapping Endorsement).

Melindungi peserta yang disebabkan daripada serangan, pembunuhan, atau penculikan, dengan syarat peserta sendiri tidak terlibat daripada mana-mana provokasi yang boleh mengakibatkan kemalangan atau serangan kepada peserta sendiri.

8. Mogok, rusuhan dan kekecohan awam (Riot strike and civil commotion endorsement).

Sijil ini diperluaskan untuk melindungi peserta disebabkan oleh mogok, rusuhan atau kekecohan awam secara tidak aktif. Sekiranya peserta sememangnya terdedah kepada risiko seperti menyertai ahli kongsi gelap, syarikat tidak akan melindungi peserta melalui skim ini.

9. Terdedah (Exposure).

Sekiranya peserta mengalami kemalangan dan terdedah kepada penderitaan akibat kemalangan seperti yang dinyatakan dalam manfaat yang diambil, peserta boleh membuat tuntutan hanya dibawah kematian dan hilang upaya kekal menyeluruh.

10. Rampasan (Hijacking Clause).

Memberi perlindungan kepada peserta terhadap kes pembunuhan, serangan atau penculikan. Tuntutan tidak akan diterima sekiranya disebabkan oleh sesuatu provokasi yang telah dirancang.

Pengecualian

Syarikat insurans atau takaful tidak akan melindungi sebarang risiko yang terdedah secara semula jadi atau perkara yang ternyata terdedah kepada sebarang risiko seperti;

1. Peperangan (War, invasion, act of foreign enemy and act).

Sebarang aktiviti yang melibatkan peperangan, serangan, perbuatan musuh asing, permusuhan atau operasi seakan peperangan (sama ada peperangan diisytiharkan atau tidak) atau perang saudara.

2. Kematian atau hilang keupayaan menyeluruh.

Risiko yang terdedah kepada sebarang radiasi atau sebarang pembakaran sisa pembuangan nuklear. Selain itu juga sebarang kemalangan atau kecederaan yang disebabkan oleh penggunaan senjata nuklear.

3. Pembuatan bahan kimia, nuklear dan sebarang bahan letupan (Chemical production).

Sebarang kemalangan atau kecederaan semasa membuat sebarang bahan letupan atau bahan kimia tidak akan dilindungi kerana terdedah kepada risiko bahaya dan menyebabkan galakkan kepada sesuatu pihak untuk membuat sebarang senjata atau bahan api daripada bahan kimia yang menyebabkan pembunuhan dan peperangan.

4. Penyakit keturunan, bersalin dan sebagainya.

Sebarang penyakit yang telah disahkan oleh doktor kerana penyakit keturunan daripada keluarga tidak akan dilindungi. Begitu juga dengan penyakit yang telah sedia ada seperti sakit hendak bersalin, mengandung dan sebagainya.

5. Jangkitan AIDS (Acquired Immune Deficiency Syndrome-AIDS).

Kematian atau kecederaan secara langsung atau tidak berhubung kait dengan Sindrom kurang Daya Tahan Penyakit (AIDS) atau apa-apa keadaan berkaitan AIDS.

6. Sukan profesional atau sebarang aktiviti seni mempertahankan  diri “Martial Arts”.

Kecederaan yang dialami dalam sebarang sukan profesional atau seni mempertahan diri atau sukan hobi yang merbahaya kecuali telah dipersetujui oleh syarikat insurans/takaful.

7. Mabuk atau dibawah pengambilan alkohol (Alchohol Addicted).

Sebarang kemalangan atau kecederaan terhadap peserta akibat mabuk dan dipengaruhi oleh pengambilan alkohol tidak akan dilindungi sama sekali kecuali alkohol yang dibenarkan oleh pusat perubatan yang diiktiraf.

8. Bunuh diri atau percubaan membunuh diri.

Peserta dengan sengaja mencederakan diri sendiri dengan niat untuk mendapat manfaat daripada syarikat insurans/takaful.


Nota:

  • Contoh kemalangan yang kerap kali dituntut oleh pusat pengajian adalah kemalangan semasa membuat kerja-kerja bengkel, kemalangan di luar kampus (menunggang motorsikal atau memandu kenderaan), jatuh tangga dan sebagainya.
  • Sebarang penyakit yang dialami oleh peserta seperti sakit jantung, darah tinggi, sebarang jangkitan dan sebagainya tidak akan dilindungi dalam skim ini.
  • Panduan ini adalah berdasasarkan rujukan dari polisi dokumen sedia ada dan dari website Etiqa Takaful.  Jika ada percanggahan maklumat rujukan muktamad adalah dari POLISI DOKUMEN.

Disemak oleh: Mohd Elam Bin Mohamed

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *